Notafikir Dari Jakarta: Pandangan Mata Putih
Alhamdulillah. Dengan izin Allah SWT aku sekeluarga telah bercuti selama 4 hari di Indonesia, bumi asalnya keluarga Hj Zulkhefli Hj Abd Mokti. Tok wan aku Hj Abd Mokti seorang berwarganegara Indonesia. Meskipun begitu, inilah kali pertama aku menjejakan kaki ke bumi yang melahirkan ramai para ulama hebat nusantara.
Percutian yang telah dirancang lebih setahun yang lalu merupakan cuti panjang pertama aku sejak aku bekerja 5 tahun lalu. Sebelum bertolak, banyak persoalan di hati aku yang bermain-main memberikan perasaan ingin mengenal Indonesia dengan pengalaman sendiri. Pelbagai tomahan positif dan negatif di lemparkan kepada Indonesia dan rakyatnya, tidak terlepas dengan kelemahan aku sendiri yang juga pernah mempunyai pendapat yang sama terdahulu.
Kita mendapat apa yang kita cari. Aku ingin menjejak kaki di Indonesia dengan melupakan salah aku itu. Aku ingin mencari kebaikan yang ada pada Indonesia. Aku fikir, sering kali manusia mencari teladan dari kelemahan orang. Oleh kerana munasabah ini, aku ingin gendong sebanyak-banyak teladan dari kebaikan yang ada pada Indonesia.
Perkelanaan notafikir aku bermula di Kota Jakarta, sebuah kota kapitalis yang begitu padat dengan orang dan aktiviti niaga serta belanja. Namun aku tidak lama di Jakarta, hari ke dua aku sekeluarga bertolak ke Bandung untuk menghabiskan 3 hari di sana.
Jelas kelihatan jurang sosioekonomi yang memberi tekanan dan juga kegembiraan; yang miskin atau susah terus berusaha untuk bertahan demi hidup dan yang kaya menjalani urusan perniagaan di mana-mana.
Yang susah melakukan apa saja untuk sesuap rezeki. Ada yang berniaga kecilan di jalanan. Ada yang menjadi tukang jaga simpang. Ada yang menjadi tukang tolong pemandu keluar parkir. Ada yang menjual barang di persimpangan. Ada yang menghiburkan orang di persimpangan. Ada yang mengambil upah mengangkut barang. Ada yang menarik tong berisi minuman botol dan tin untuk jualan.
Kebanyakan raut wajah mereka tidak nampak akan putus asa namun raut wajah bersahaja yang ingin terus hidup dan terus berusaha.
Meskipun kompetitif di antara aktiviti mereka, aku amat kagum kerana mereka tidak memaksa-maksa. Yang selalu dijumpai di tempat lain, selalu peniaga jalanan merayu-rayu agar kita berbelanja dengan barang jualan mereka. Di Jakarta dan Bandung, aku tidak pernah di tawarkan jualan melebihi 3 kali. Tidak pernah memaksa.
Mereka juga tidak pula cuba menewaskan rakan-rakan mereka yang lain yang juga melakukan jualan yang sama. Di satu foodcourt, datang peniaga kepada aku dan bertanyakan mahu minum apa. Dengan mengorder segelas jus, peniaga itu berlalu ke kedainya. Aku baru perasan, kedainya jauh benar dan seketika di situ juga ada peniaga-peniaga lain yang tunggu untuk menawar aku berbelanja. Apabila mereka lihat peniaga awal tadi sudah menjual, mereka berlalu terus tanpa berubah wajah mereka.
Aku tidak puas hati maka aku bertanya kepada salah seorang dari mereka.
“Mas… tidakkah mas merasa rugi, kedai mas lebih hampir dengan meja ini dan dia jauh di sana. Seharusnya, mas yang mendapat jualan?”
“Ngak apa-apa pak, itu rezeki dia. Bukan rezeki saya”
Inilah nilai sifat memberi lebih baik dari sifat menerima.
Aku sekeluarga menaiki MPV yang di pandu seorang pemandu pelancong di sana bernama Angga. Angga seorang penderma. Setiap kali dibantu di jalanan pasti ada wang diberikan tanda terima kasih atau penghargaan. Angga juga bukan seorang yang mewah, malah MPVnya juga dia sewa. Aku tidak boleh menempatkan Angga di golongan pertengahan dalam sosioekonomi Indonesia kerana dia juga surviving dalam mencari niaga.
Pada mulanya aku fikir Angga seorang penderma. Tetapi apabila aku amati Bandung dan Jakarta, begitulah caranya mereka. Tetapi tidak dilakukan oleh para pemandu kereta mewah. Mereka yang memandu pelancong, teksi dan bas, serta kereta-kereta biasa sahaja yang bersifat begini.
Aku bertanya pada Angga akan hal ini lalu dia menerangkan “pak, saya mendapat rezeki hari ini dengan bawa tamu. Bayaran saya lebih lumayan dari apa mereka dapat. Rezeki saya di kongsi dengan mereka. Mereka juga membantu saya dalam saya berniaga ini. Jika tiada mereka, saya susah mahu parking, melintas dan hanya membuang masa. Tak apalah, berkongsi sedikit.”
Dengan rasa insaf itu, aku memerhati situasi demi situasi. Benar, mereka berkongsi bukan terpaksa. Ini nyata jelas dengan beranggapan mereka yang memberi tanpa diminta.
Sikap toleransi mereka nampak sangat jelas terutamanya di atas jalan raya dengan memberi laluan dan tidak tergesa-gesa untuk kehadapan untuk mendahului kenderaan lain. Sememangnya jalan raya di Jakarta dan Bandung padat tetapi sepadat itu, lorong kecemasan masih tidak disalah gunakan.
Di persimpangan dan di lintasan pejalan kaki, mereka tidak mudah untuk membunyikan hon untuk memarahi mereka yang memintas. Bertoleransi di atas jalan raya adalah sifat yang sangat patut diteladani oleh pemandu di Malaysia.
Sifat toleransi juga ditonjolkan dengan cara menerima hakikat rezeki itu hak diri masing-masing. Sepertimana di ceritakan sebelum ini, iaitu toleransi dalam meniagakan barangan jualan atau makanan. Meskipun tewas dengan lawan tetapi mereka boleh bertoleransi untuk tidak mengganggu usaha yang lain. Malah, terus berusaha.
Begitulah apabila yang baik yang kita cari, yang baiklah kita nampak dan temui. Aku mendoakan kebaikan yang aku temui di kalangan orang Indonesia terutamanya mereka di Jakarta dan Bandung, lebih khusus, mereka-mereka yang aku lihat sendiri akan terus berusaha, dimurahkan rezeki dan mengekalkan kebaikan yang ada atau menjadi lebih baik dari sekarang.
Lebih senang hati ini apabila mencari untuk melihat yang baik. Walhal, apabila persepsi, dimensi dan paradigma melekat pada keburukan, itu semua hanya mengkhusutkan kepala.
Meskipun cahaya yang membuatkan kita melihat menuju dalam anak mata, jangan kita lupa akan penting jua si mata putih. Kita renung dan lihatlah kebaikan agar kita menjadi lebih baik dan tinggalkan keburukan. Usah hanya kenal apa itu keburukan, tetapi tidak pula kenal kebaikan.
Sampai jumpa lagi di Indonesia! Ayuh! Jadi bagus!