MENGHARUNGI FASA TRANSFORMASI NASIONAL
Hampir setiap orang yang hidup di Malaysia merasa kepahitan dalam gelora ekonomi negara. Orang yang hidup di negara itu pula bukan sahaja rakyat Malaysia malah pelancong sekalipun merasakan sedikit sebanyak kepahitan itu.
Transformasi berlaku di pelbagai peringkat, sama ada di peringkat institusi keluarga, kampung, syarikat, persatuan dan juga negara. Setiap transformasi akan menggegarkan ruang selesa yang pernah kita lalui. Gegaran ini menghasilkan pelbagai reaksi. Ruang selesa diganggu dan dirobek untuk mewujudkan hasil yang baharu dan tentu sahaja bervisikan kepada hasil yang lebih baik serta mewujudkan ruang selesa yang baharu.
Kegoncangan transformasi ibarat seperti hijrah dari suatu perkara kepada perkara yang lain atau seperti berpindah rumah. Kita mungkin selesa tinggal di suatu rumah sehinggalah kita mengenalpasti kekurangan yang ada di rumah tersebut atau kita berkeinginan untuk tinggal di suatu suasana tempat yang lebih baik, maka kita merencanakan transformasi tertentu sama ada melalui renovasi, penambahbaikan atau berpindah. Apa jua jalan kita pilih, tentu sahaja ketika perlaksanaan transformasi akan mencetuskan ketidakselesaan. Pernah sahaja kita melihat papan tanda “kesulitan hari ini demi masa hadapan” ketika pembinaan infrastruktur baharu dijalankan.
Pelan transformasi ekonomi negara adalah transformasi peringkat tinggi yakni ia menyentuh aspek menyeluruh dan melibatkan ramai pihak. Tentu sahaja dalam proses transformasi ini berlaku, akan wujud ruang-ruang tidak selesa dan kesulitan. Sepertimana contoh dengan berpindah rumah, jika ada rakan kongsi rumah yang tidak mahu bersusah payah berpindah dan terus mahu tinggal dalam keselesaan yang lama di rumah yang sedia ada, maka dia tidak beroleh kebaikan dari rumah yang baharu. Demikian juga dengan rakyat yang tidak bersama-sama terlibat dalam transformasi negara, duduk berbual membangkang serta merungut kesulitan tempiasan transformasi tanpa mengambil inisiatif bagi merangka perubahan dan bersama-sama perubahan ini akan ketinggalan.
Disasarkan peningkatan pendapatan isi rumah meningkat sebagai hasil transformasi ekonomi, kita sebagai rakyat bukan disasarkan untuk duduk berpeluk tubuh. Tetapi kita harus proaktif dan bertindak untuk bersama-sama dalam arus transformasi, terutamanya dalam meningkatkan kualiti kerja, meningkatkan kemahiran, meningkatkan kelayakan dan mencetuskan daya keusahawan yang tinggi. Benarlah, tidak semua yang mampu melakukan semua itu bersendirian namun lakukanlah juga meskipun sedikit demi sedikit kerana kita tidak boleh terus tenggelam dan ditinggalkan dalam menuju menjadi negara maju.
Kekurangan keberkesanan perlaksanaan Wawasan 2020 mungkin sahaja disebabkan oleh kurangnya daya paksa dalam pelan transformasi. Oleh yang demikian, kesedaran atas peranan yang perlu dimainkan oleh rakyat adalah kurang dan hanya mampu bermimpi dalam impian yang melangit. Daya paksa dalam pelan transformasi menuju TN50 mungkin lebih memandu rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan yang akhirnya akan menguntungkan dirinya sendiri.
Antara pelan terbesar dan terkesan dalam pelan transformasi negara adalah mengubah punca pendapatan negara dari punca sektor awam sendiri kepada punca dari sektor swasta. Dalam pelan ini, sebagai contoh, institusi pendidikan tinggi sebagai contoh tidak lagi boleh bergantung kepada punca pendapat sektor awam iaitu kerajaan. Peruntukan diberikan hanyalah cukup untuk kos operasi dengan sedikit lebihan untuk dana pembangunan tertentu. Institusi pendidikan tinggi perlu proaktif dan aggresif mencari punca pendapatan untuk disalurkan kepada pembangunan pendidikan dan penyelidikan. Pengkomersilan institusi pendidikan tinggi perlu agresif dan serancak sektor swasta dan tidak hanya tertumpu kepada pendidikan dan penyelidikan semata-mata malah seharuskan menuju kepada penghasilan produk akhir yang mempunyai nilai tambah kepada pasaran. Hubungan kerjasama dengan sektor swasta perlulah ditingkatkan dan diperkukuhkan. Proses pengurusan dan pengendalian projek perlu diperkemaskan. Banyak lagi perlu ditransformasikan institusi ini agar selari dengan pelan transformasi negara ini. Ya, setuju, susah dan pahit itu bakal dihadapi.
Tidak tertinggal adalah aspek moral dan etika dalam transformasi negara ini dilaksanakan. Pengambilan harta negara dan hak rakyat dengan cara haram serta tanpa keredhaan rakyat adalah kesilapan yang tidak dapat dimaafkan. Sama ada dilakukan oleh golongan pekerja bawahan, pengurus, pengarah, ahli politik, agamawan, akamedis dan pemimpin, ia tetap akan merosakan pelan transformasi ini kerana visi ekonomis seharusnya selari dengan peningkatan nilai moral, integriti, sahsiah dan rohani.
Berfikirlah akan perihal ini, kerana arus sedang bergelora. Mainkan peranan diperingkat diri kita sendiri dan jadilah rakyat yang proaktif. Memimpinlah dengan ketinggian integriti dan nilai rohani agar usaha kita tidak hanya menghasilkan milikan duniawi semata-mata, kerana kaum yang hebat itu berjaya meraih keredhaan Allah. Biarlah kepahitan yang dilalui berbaloi di dunia dan di akhirat.
#tn50 #etp