Mudahnya Mendirikan Rumah Tangga
Lebih setahun yang lalu, saya pernah menulis satu artikel bertajuk “Dugaan Bertunang atau Dugaan Mendirikan Rumah Tangga” yang menjadi artikel paling banyak di baca di laman NotaFikir.com. Alhamdulillah. Semoga dengan artikel tersebut, kita semua dapat manfaat dari pesanan dan teladan yang diceritakan. Walaubagaimanapun, tersimpan dalam lubuk hati saya rasa tidak senang dengan capaian pembaca dengan artikel tersebut kerana khuatir timbul rasa kerisauan atau menjauhkan diri dari pernikahan akibat dugaan-dugaan yang diceritakan dalam artikel tersebut. Oleh kerana itu, saya ingin berkongsi pula kemudahan dalam mengejar ijab dan qabul, yakni pernikahan.
Allah telah berfirman dalam Surah Ash-Sharh ayat ke 5 dan ke 6 yang bermaksud:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6)”
Jelaslah bahawa adapun kesukaran yang berlaku pasti akan disertai dengan kemudahan. Malah Allah SWT menegaskannya dengan mengulanginya pada ayat seterusnya.
Kita mungkin pernah mendengar akan kata-kata yang meyakinkan bahawa rezeki amat dimurahkan kepada mereka yang ingin berumahtangga. Adapun yang menceritakan tentang pengalaman mereka dimurahkan rezeki oleh Allah SWT dalam melalui detik-detik berumahtangga dan ada pula dimurahkan rezeki setelah berumahtangga.
Allah Maha Kaya lagi Maha Agung. Demikian juga Allah Maha Kasih lagi Maha Penyayang.
Kesukaran yang terjadi bukanlah halangan malah sebagai dugaan. Sesiapa yang sabar dalam menempuh dugaan ini dan terus berusaha tanpa putus asa akan memperoleh tujuannya dengan izin Allah SWT. Begitulah bagi mereka yang ditempuh dugaan dan cabaran dalam mendirikan rumahtangga, mereka bersabar dan cuba menyelesaikannya dengan bijak beserta doa yang berpanjangan, akhirnya mereka memperoleh kenikmatan kebahagiaan berumah tangga.
Merenung pengalaman dan cerita-cerita para sahabat saya, kebanyakan mereka termasuklah saya dipermudahkan dalam bentuk kemurahan rezeki. Ada yang tiba-tiba memperoleh kenaikan gaji, duit belanja perkahwinan yang disumbangkan ahli keluarga dan sahabat, makanan dan minuman yang ditaja dan ada juga mendapat hadiah pakej berbulan madu yang mengurangkan perbelanjaan pengantin. Tidak kurang juga yang memperoleh kemudahan seperti aturcara yang berlangsung dengan sempurna, cuaca yang mengizinkan, kunjungan tetamu yang ramai sambil didoakan kebahagian pengantin baru, makanan yang sedap, cukup memadai jumlah tetamu dan menggembirakan para tetamu, acara akad nikah yang lancar dan berpindah ke rumah baru yang mudah.
Melihat keadaan ini, saya merasakan inilah buktinya bahawa apabila kita melawan kemaksiatan dan bergerak menuju ketaatan, iaitu dalam aspek mendirikan rumah tangga yang bermaksud meninggalkan couple dan maksiat lain yang tercela lalu memilih syariat dengan bernikah. Inilah yang diertikan dengan jalan taqwa. Ini bertepatan dengan maksud taqwa dari sisi syara’ yang bererti: “Menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah SWT dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.
“… Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (3) “ Surah Al-Talaq ayat ke 2 dan ke 3.
Oleh yang demikian, apabila kita amati perjalanan mendirikan rumahtangga kita yang bermula dengan kenalan dan pertemuan, disusuli dengan kemudahan dan dugaan, maka bersaksilah kita bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Begitu juga dengan saudara-saudari yang masih belum berumahtangga, usahlah menjadikan faktor kewangan sebagai alasan dan tidak pula dengan sengaja mewujudkan masalah kewangan iaitu dengan meletakan syarat pernikahan (hantaran dan majlis) yang bernilai diluar kemampuan hingga menggamit hutang. Bukankah itu hanya sekadar menyusahkan atau mengsukarkan pernikahan? Permudahkanlah melakukan kebaikan malah jangan pula melengahkan melakukan kebaikan.
Dari kisah Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS dapat juga kita mengambil ikhtibar iaitu, setelah Nabi Ibrahim beroleh kepastian dari mimpinya untuk mengorbankan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim tidak menangguh-nangguhkan pelaksanaan perintah itu meskipun mengorbankan anak sendiri adalah suatu dugaan yang amat besar. Nabi Ibrahim hanyalah meminta pendapat Nabi Ismail lalu Nabi Ismail dengan jelas menjawab agar perintah Allah itu terus dilaksanakan. Dengan dugaan yang begitu besar, Nabi Ibrahim telah membaringkan Nabi Ismail untuk disembelih tetapi Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan serta-merta dan mudah. Demikian itu, sembelihan menjadikan kaedah yang baik dalam menjadikan haiwan sebagai makanan sehingga ke hari ini. Demikianlah dugaan itu disusuli kemudahan dan kebaikan bukan sahaja bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail malah kepada kita umat Rasulullah SAW hingga ke hari ini.
Di sandarkan pada kenangan sirah ini, apabila bertemu jodoh, dirikan solat sunat istiqarah, elak melakukan kemaksiatan malah junjunglah ketaatan kepada Allah SWT. Berserahlah soal rezeki kepada Allah, sesungguhnya rezeki kita telah pun tertulis sejak azali lagi. Keyakinan ini seharusnya menjadi dorongan untuk terus berusaha dan berdoa dalam mengejar kebaikan dan menjadi hamba yang taat.
Sebelum berakhir, hayatilah hadith yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dari hadits al-Laits bin Sa’ad dan Ibnu Lahi’ah, iaitu sepotong hadith hasan shahih yang bermaksud:
Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Abbas, bahasanya dia memberitahunya, pada suatu hari dia pernah naik (membonceng) kenderaan di belakang Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda kepadanya:
“Wahai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa nasihat. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatkanNya di hadapanmu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan jika engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika ummat ini bersatu untuk memberikan manfaat (kebaikan) kepadamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan memberikan manfaat kepadamu melainkan dengan sesuatu yang ditetapkan Allah bagimu. Dan jika mereka bersatu mencelakakanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mencelakakanmu melainkan dengan apa yang telah ditetapkan Allah bagimu.”
Begitu pula kepada mereka yang belum mempunyai calon pasangan, beranggap baiklah kepada Allah SWT, kita hanya perlukan usaha yang lebih dan sabar yang menebal. Begitu juga kepada mereka yang telah berkahwin, dugaan pasti mengunjung tiba sekali-sekala, sabar, usaha dan teruskan bertawakal.
Mintalah dipermudahkan dan dimurahkan rezeki kepada Allah dalam berumahtangga. InsyaAllah Allah SWT membuka jalan dan mempermudahkan urusan. Amien.
Wallahu’alam.