Bumi Pada 23.5 Darjah
Setiap hari kita menyaksikan matahari terbit dan terbenam. Matahari terbit di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Bumi yang berputar dari barat ke timur menjadikan kejadian matahari terbit dan terbenam. Bumi berputar mengelilingi matahari pada paksinya sendiri. Ahli sains telah membuat ukuran bahawa bumi berputar pada paksinya 23.5 darjah condong ke arah matahari. Kejadian ini bukan sahaja menjadikan siang dan malam tetapi lebih dari itu.
“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Surah Al-Anbiya ayat ke 33)
“Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,” (Surah Adh-Dhariyat ayat ke 7)
Apabila matahari berputar mengelilingi bumi, sebahagian dari bumi akan menghadap ke arah matahari dan sebahagian lagi berselindung membelakangi matahari lalu menjadi sebahagian siang bagi kawasan menghadap matahari dan sebahagian lagi malam. Oleh kerana wujud pembahagian kawasan di antara malam dan siang, maka telah wujud juga waktu subuh dan senja.
“Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya) dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya) dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.” (Surah Az-Zumar ayat ke 5)
Ketika waktu subuh menuju siang dan ketika senja menuju malam, sinaran cahaya yang terbentuk di langit tidak lagi putih malah jingga, merah dan kadang kala berwarna unggu yang terhasil dari pembiasan cahaya yang melalui lapisan udara berbagai ketumpatan. Kecantikan senja dan terbit matahari mensajikan pemandangan yang amat indah. Begitulah hadirnya peringatan Allah SWT kepada manusia dalam menyaksikan keindahan itu.
“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Luqman ayat ke 29)
Waktu berlalu dari subuh ke tengah hari melalui waktu awal pagi bila masanya matahari masih condong di timur. Ketika ini, matahari masih mendaki langit lalu kelihatan di sebalik pohon-pohon dan bangunan sebelum terik tegak di atas kepala. Matahari yang berada di kaki langit menghasil bayang-bayang yang panjang dan matahari yang berada tegak di atas kepala kita pula hanya menghasilkan bayang-bayang yang pendek.
“Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana Dia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Dia kehendaki tentulah Dia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;(45) Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur. (46)” (Surah al-Furqan ayat ke 45 hingga 46)
Sedarkah kita di situlah bukti kasih sayang Allah kepada kita? Fikirlah sejenak, jika tiada bayang-bayang yang tercipta dan cahaya bergerak pelbagai arah makanya meskipun matahari rendah di kaki langit, tentulah cahaya itu tepat menusuk bebola mata lalu membiarkan mata kita tidak selesa. Tetapi, Allah SWT dengan kasih sayang dan kebijaksanaanNya menghasilkan bayang –bayang lalu memberikan kawasan gelap dan teduh supaya pagi sentiasa indah dengan suasana yang perlahan-lahan menghilangkan kabus-kabus pagi dan titisan embun malam dengan matahari yang makin terik dan cerah. Oleh kerana itu, apakah layak seorang manusia bongkak dengan kelebihan padanya seperti harta dan pangkat, sedangkan dia tidak mampu membentuk bayang-bayang dan cahaya sendiri?
“Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri?” (Surah An-Nahl ayat ke 48)
Bumi yang berputar pada paksinya juga membahagikan permukaan bumi kepada 4 musim utama; sejuk, bunga, kemarau dan luruh. Begitu juga sebahagiannya lagi bermusim sederhana atau kekal sama sepanjang tahun seperti monsun dan khatulistiwa. Putaran bumi pada 23.5 darjah dari matahari lalu mengelilingi matahari menjadikan sebahagian masa dan bumi terdedah kepada cahaya matahari lebih dari sebahagian yang lain. Ketika hemisfera utara mengalami musim sejuk, hemisfera selatan terdedah kepada matahari lebih berbanding hemisfera utara. Begitulah sebalik apabila bumi berputar mengelilingi matahari ketika pertengahan tahun yang menjadikan musim sejuk di hemisfera selatan.
Di atas paksinya, bumi mengelilingi matahari lalu membentuk perubahan musim sepanjang tahun. Lain pula kesannya apabila ketika masa yang sama bulan pula mengelilingi bumi. Tarikah graviti bulan membentuk surut pasang laut di kawasan berdekatan bulan. Ada kalanya kedudukan bulan selari dengan kedudukan matahari iaitu kedudukan pandangan mata kasar manusia, lalu menjadi gerhana bulan dan gerhana matahari.
“Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; (37) Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; (38) Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (39) (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (40).” (Surah Yaasin ayat ke 37 hingga 40)
Berputar mengelilingi bumi di atas paksinya, bumi menghasilkan pemandangan yang berbeza pada logiknya kerana setiap kali sesuatu bergerak memberikan ruang pemandangan berbeza. Akan tetapi tidak sebegitu yang terjadi apabila bintang – bintang panduan di langit tetap sama meskipun bumi berputar pada paksinya malah tetap sama meskipun bumi bergerak mengelilingi matahari.
“Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.” (Surah An-Nahl ayat ke 16)
Begitulah kekuasaan Allah SWT dan begitulah kasih sayang Allah SWT yang menjadikan bumi, matahari, langit, bulan dan bintang bagi bermanfaat kepada manusia terutama bagi mereka yang mahu berfikir dan beriman ke atas kebesaran Allah SWT serta bersyukur dengan kurniaan ini. Bukankah semua ini bukti bahawa tidak terjadi salah satunya dengan sendirinya melainkan ada penciptanya iaitu Allah SWT yang Maha Mencipta?
“Dialah pencipta langit dan bumi…” (Surah Al-Anaam ayat ke 101)
Mereka beruntung apabila siang mereka sibuk dengan urusan harian tanpa leka mengingati Allah SWT dan apabila malam mereka sibuk sujud dan berzikir kepada Allah SWT. Mereka itu melalui masa ketika bumi berputar dan bumi melalui orbitnya. Hati mereka itu adalah hati rindukan ketenangan, malah mungkin telah beroleh ketenangan. Hati itu memupuk iman dan taqwa yang makin kukuh yang lahir dari rasa rendah diri bahawa mereka juga suatu ciptaan yakni seorang manusia, makhluk, yang dicipta Allah SWT untuk beribadah dan menghambakan diri kepada Allah SWT serta mengakui kebesaranNya. Wallahu’alam.