Novel: Tawaf Penggembala – Bahagian 8
“Karim bukan lagi lawan kau, Jamal! Kau kena sedar itu!” keras dan lantang peringatan Arif. Matanya tertumpu pada Jamal yang sedang membaiki postur badan, memerhatikan bola golf dan berkali-kali memerhati semula sasaran.
“Ini bisnes Arif. Ini bisnes. Kita tak boleh menyerah kalah begitu saja! Pantang aku menyerah sebelum berjuang,” tangan dan badannya bergerak serentak. Menghayun kayu golf dan mengenai bola golf. Memukul golf dalam keadaan beremosi sememangnya tidak meyakinkan akan mengenai sasaran. Bola golf itu jauh terpesong dari sasaran.
“Karim itu bisnes dia sekarang besar. Syarikat dia bernilai berbilion ringgit.”
“Arif, kalau dari nilai, syarikat aku 5 kali ganda dari dia.”
“Itu nilai wang. Nilai kepercayaan orang kau tewas. Siapa tak kenal syarikat Karim tu. Siap ada yayasan lagi untuk menyalurkan derma dan sumbangan. Program kemasyarakatan syarikat Karim sangat popular. Nilai-nilai tu yang akan bawa duit kepada dia.”
“Ahh.. itu semua cover up, Arif. Derma dapat nama. Tapi pengalaman dalam projek takdak bezanya. Aku pun mampu buat la! Aku tak kira, aku akan lawan dia dalam tender tu juga.”
“Baiklah. Tapi kau kena tahu, risiko jika kau tewas dengan Karim. Kau mungkin hilang popularity. Kau mungkin hilang kredibiliti kau dalam dunia construction hartanah ini. Tender tu bukan calang-calang tender. Kalah projek KLCC.”
“Aku sedar. Aku akan kumpulkan semua pakar yang aku ada. Termasuk pakar-pakar wang ringgit aku.” Wajah Jamal sinis. Kali ini dia pula memerhatikan Arif membetulkan kaki dan tulang belakang untuk memukul bola golf.
Suhu Kuala Lumpur tidak pernah turun di bawah 30 darjah celcius lagi. Tetapi para orang kenamaan seperti tidak suka lagi dengan pejabat berhawa dingin. Apa tidaknya, berjemur badan di padang golf pada waktu tengah hari hingga petang, seolah tidak langsung menghiraukan cuaca panas. Mungkin terlalu lama dalam pejabat yang sejuk dan selesa. Seronok sekali sekala beriadah di tengah panas.
Waktu berlalu dari mata hari yang tegak tepat 90 darjah di atas kepala, kini condong ke barat. Arif dan Jamal masih menjadi seperti peladang menebas lalang-lalang di kebun. Tetapi sabitnya mahal. Beribu ringgit harganya. Pakaiannya mahal. Topinya juga mahal. Tiada satu pun berjenama tempatan. Paling kurang lebih 5 hingga 7 ribu nilainya di bawa ke padang. Tekun menebas. Tidak ada siapa yang mengganggu. Begitu asyik mereka.
Meskipun padang golf itu tidak jauh dari kesibukan kota, tetapi suasananya tenang dan sunyi. Kadang-kala terdengar siulan si burung yang terbang sambil ketawa melihat gelagat manusia yang tidak kenal panas. Tapi si burung tahu itulah sifat manusia; apabila manusia telah jatuh cinta dengan apa yang dia lakukan, dia amat asyik dan tidak lagi endahkan akan hal lain.
“Kita kena set kuncu-kuncu dalam kementerian. Biar mereka kenyang. Senang tender nak masuk. Aku pasti Karim tak akan lakukan itu,” ujar Jamal dengan wajah yang begitu meyakinkan.
Arif tersenyum. Arif juga yakin dengan cara Jamal kerana Jamal amat berpengalaman dalam memasang umpan. Pernah Jamal mengatakan kepada Arif yang orang yang hidup jujur akan menjadi makanan para pencinta wang ringgit. Meskipun begitu, mangsa-mangsa umpan Jamal amat bahagia sekali dengan layanan Jamal. Dari sebelum tender di luluskan hinggalah projek selesai bertahun-tahun, mereka masih dilayan Jamal dengan baik, malah, Jamal tidak pernah lupa untuk menjemput ke makan malam tahunannya.
Dalam dunia perniagaan, menjaga hubungan dengan jaringan yang ada amat penting. Mereka mungkin membantu ketika mendaki tetapi belum pasti membantu ketika jatuh. Bagi Jamal dan Airf, apa yang lebih penting ada bagaimana mendaki dan cuba kekal di atas. Berjaya dan mewah.
Terdengar azan berkumandang. Masjid Al-Saudi terletak 500meter dari padang golf lubang terakhir Kelab Golf Di Raja Selangor. Masjid yang unik kerana nama dan pengendalian masjidnya. Masjid ini mendapat nama dari khutbah Jumaatnya yang disampaikan dalam bahasa Arab. Meskipun begitu, azan tidak menyentuh hati mereka yang bermain di bawah sinar mentari dan rajin menebas di padang yang rumputnya pendek itu.
Jamal mengambil telefon bimbit lalu menelefon setiausahanya. “Linda, send invitation to all project experts, i nak jumpa mereka semua esok pagi jam 10. Urgent. Thanks.”
“Arif, kau kena turun meeting esok pagi. Kita aturkan rancangan dari dalam tanah hingga ke puncak. Aku taknak kita terlepas untuk bina 100 tingkat menara gagah baru Malaysia ini.”
“Semangat baru ini. Baru aku rasa nak main 10 lubang lagi ini! Haha,” ketawa mereka meluputkan suara azan yang berkemundang.
Di Marinara, Karim bersama pekerja-pekerjanya sedang solat Zohor. Surau Al-Karimah penuh dari saf hadapan hingga ke saf terakhir. Dingin dan menenangkan. Hanya kedengaran suara-suara Muslim yang memuji-muji Tuhan dalam solat serta bacaan-bacaan dalam solat. Halus dan berbisik suara-suara itu. Imamnya sahaja yang melontarkan suara takbir dan memimpin solat jemaah. Dinding kaca dari tingkat 32 jelas menampakan bangunan berkembar Petronas. Sinar mentari masuk melalui sisipan jendela kontemporari memberi cahaya kepada ruang-ruang surau. Sujud dan rukuk di tingkat 32 itu bagai meletakkan agama adalah pendokong tertinggi dalam menguruskan syarikat gergasi Karim. Apatah lagi apabila pemimpin nombor satu syarikat itu sendiri yang memimpin solat jemaah para pekerjanya.
Di lantai-lantai bawah tingkat 32 pula kosong dan lengang. 200 pekerja syarikat Karim berkumpul di tempat yang sama. Berdiri mengadap qiblat yang sama. Sujud dan ruku pada Tuhan yang sama. Tiada seorang pun yang cuba menjauhi aktiviti syarikat ini. Tetapi datang dengan ikhlas tanpa dipaksa. Kesunyian di awal waktu solat adalah perkara biasa di syarikat ini.
“Assalamualaikum warahmatullah….” Pakcik Karim menamatkan solat jemaah zohor. Itulah kebiasaan Pakcik Karim yang menjadi imam di Surau Al-Karimah. Nama surau yang sangat sinonim dengan nama pemilik syarikat gergasi itu. Tiada siapa dari jemaah yang bangun malah semuanya tumpukan perhatian berzikir dan berdoa bersama-sama. Inilah didikan sebuah syarikat yang mementingkan nilai harga diri dan nilai akidah dalam perniagaan.
Setelah selesai solat zohor dan sebelum jemaah mula beransur, Pakcik Karim pusing mengadap para pekerjanya.
“Assalamualaikum para sahabat saya. Saya ada beberapa pengumuman penting. Syukur alhamdulillah kita diberikan peluang untuk menimba rezeki lagi. Saya bercadang untuk memasuki tender untuk menara 100 tingkat Warisan Khazanah. Seperti semua sedia maklum, kita belum pernah membangunkan sebuah bangunan setinggi itu tetapi saya yakin dengan kemampuan yang Allah berikan kepada setiap yang ada di hadapan saya ini. Oleh yang demikian, saya mohon kepada saudara-saudara sekalian untuk bekerjasama membangunkan mercu tanda baru Kuala Lumpur ini dan berdoa agar bangunan yang dibina ini memberikan manfaat. Dan seawal ini, saya ingin mengingatkan bahawa jangan sesekali mengambil hak orang lain dalam membangunkan projek mahupun untuk kepentingan diri sendiri. InsyaAllah Allah akan kurniakan rezeki yang puas untuk kita. Mulai esok, saya akan mula memanggil kalian untuk membincangkan akan pembangunan menara 100 tingkat. Ada sebarang persoalan, sila e-mail kepada saya atau datang berjumpa saya di pejabat. Jangan risau dan takut akan pengalaman yang baru kita akan tempuhi. Kita tidak perlu menjadi syarikat yang pertama dan terhebat di dunia, tetapi kita boleh jadi manusia terbaik untuk diri kita sendiri. Buatlah kerja untuk menjadi insan yang hebat dan diredhai Allah. Assalamualaikum.”
Pakcik Karim bangun dari sejadah dan melipat sejadah. Menutup suis pembesar suara dan mula beransur keluar surau.
“Di mana Fathul. Sepatutnya dia melapor diri hari ini. Esok Selasa. Tapi HR tak dapat hubungi dia. PA aku juga tidak dapat hubungi dia. Apa ada masalah? Atau dia tidak mahu bekerja di sini? Ya, di mana Fathul?” bisik hati Pakcik Karim.