Potential Difference, V = IR
Sains merupakan bidang yang mengkaji dan menguji kejadian alam untuk diaplikasi bagi menyelesaikan permasalahan harian. Eksplorasi sains melalui proses melihat alam dan mengumpulkan data dari alam. Akhirnya, suatu kesimpulan dibuat di atas perhatian yang dijalankan. Hubungan kesimpulan sains dan alam adalah satu penerangan akan fungsi dan kaedah alam berfungsi. Maka dengan itu, ilmu sains menerangkan dengan lebih lanjut akan kewujudan dan kejadian di alam ini.
Teori dari ilmu sains yang dikecapi melalui penemuan pula merupakan satu penerangan akan kebetulan yang berlaku atas sifatnya yang lumrah seperti penemuan elektrik pada kilat. Kilat itu sifat lumrahnya memiliki kuasa elektrik dan penemuan ini menerangkan dengan lebih lanjut akan perihal elektrik. Oleh kerana itu, hampir semua ilmu sains berkait rapat dengan lumrah alam. Memahami keadaan ini, mudah untuk mengkait-hubungkan ilmu sains dengan lumrah kehidupan kita juga.
Elektrik yang menyalakan mentol, televisyen, computer dan berbagai perkakas elektronik merupakan antara aplikasi sains yang terluas digunakan di dunia sekarang. Asas pada dunia elektrik adalah rumus V=IR, iaitu membawa maksud Voltage atau beza keupayaan elektrik(potential difference) bersamaan dengan kadar arus,I, yang mengalir dalam litar apabila wujudnya rintangan,R. Pertama kali kita berkenalan dengan rumus ini ketika di bangku sekolah menengah dengan melihat bagaimana arus mengalir melalui litar elektrik menyalakan sebiji mentol atau lebih apabila suis disambungkan. Arus terhasil dari pergerakan elektron dalam litar iaitu dari negatif punca kuasa, bateri, ke positif punca kuasa. Rintangan yang wujud membenarkan keadaan ini terjadi kerana membentuk beza upaya antara dua tempat. Rintangan memberikan halangan pada arus untuk mengalir dengan kadar lebih tinggi. Maka lebih besar rintangan maka arusnya akan mengecil. Seperti sungai yang dipenuhi sampah, maka arusnya terhalang dan mengalir lebih sedikit.
Arus yang mengalir itu bagaikan perjalanan hidup kita dan rintangan bagaikan cabaran serta dugaan yang terjadi ketika kita melalui kehidupan kita. Hidup kita seperti tersekat-sekat angkara cabaran dan dugaan. Ketika kita berusaha untuk mengecapi cita-cita kita, tiba-tiba dugaan datang dan kita perlu menghadapi dugaan itu dahulu serta menyelesaikan permasalahan sebelum kembali meneruskan usaha-usaha kita.
Dalam kehidupan kita seharian, cabaran dan dugaan itu akan sentiasa berlaku. Hanyalah yang membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain adalah cabaran itu datang dengan kadar yang berbeza dan saiz yang berbeza. Adakala ia terjadi sekali atau dua kali. Adakalanya cabarannya besar dan ada kalanya cabarannya kecil sahaja. Ada cabaran yang memerlukan perhatian yang lebih dan ada cabaran yang datang memerlukan bantuan dari orang lain. Namun, cabaran ini tidak menghentikan dari kehidupan diteruskan. Akan tetapi, cabaran dan dugaan memperlahankan isi-isi kehidupan.
Seorang yang hidup sihat tiba-tiba mengidap suatu penyakit terpaksa menghentikan atau memperlahankan kehidupan sihatnya,seperti bekerjaya,terlebih dahulu kerana perlu berikhtiar untuk mengubati sakitnya.
Seorang yang bakal mendirikan rumah tangga tiba-tiba menghadapi masalah dengan tunangannya terpaksa mengfokuskan perhatian kepada masalah itu terlebih dahulu sebelum kembali melangsungkan persiapan perkahwinan.
Itulah hakikat kehidupan yang kita perlu lalui. Kehidupan itu diwarnai dengan manis dan pahitnya. Warna-warna kehidupan itu tidak selamanya cerah dan tidak selamanya gelap. Warna kehidupan itu memberikan ruang kepada kita merasakan bahawa kita masih hidup di bumi yang nyata dan mengingati kita akan kita tidak punya kuasa mutlak atas kehidupan, malah kita lemah kerana Allah lebih Maha Esa dan berkuasa ada kehidupan kita.
Perjalanan kehidupan bersama dengan cabaran ini bukanlah sekadar perjalanan merentas masa, tetapi memberi kita manfaat yang amat berharga jika kita dapat laluinya dengan sabar dan peka. Seperti teori elektrik telah menerangkan, arus yang mengalir dalam rintangan menghasilkan beza upaya. Itulah diri kita yang seharusnya bersyukur kerana kita akan memiliki potensi yang baru setiap kali dugaan dan cabaran menimpa. Dari seorang yang lemah akan bertambah kuat, dari seorang yang rendah iman kepada seorang yang tinggi imannya, dari seorang yang lalai kepada seorang yang berwaspada. Inilah potensi baru. Inilah beza keupayaan yang lahir dari cabaran yang dilalui. Setiap masalah itu mematangkan kita, memberikan kehidupan kita ini nilai yang baru.
Namun begitu, melalui saat-saat menghadapi cabaran itu tidak semudah dijangka. Sepertimana arus air di sungai yang terpaksa mengalir ditepian batu, menghempas dirinya ke tebing dan ke dasar. Tetapi, setibanya arus sungai ke lautan, air sungai yang tawar menjadi masin. Dari potensi air kosong atau air paip kepada garam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
- “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Apa yang penting adalah bagaimana voltage di bateri masih boleh menyalakan mentol hinggalah riwayat mentol berakhir. Apa yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan potensi yang diperbaharui ini untuk meneruskan kehidupan hingga ke akhir hayat. Dengan potensi baru, tidak mustahil dugaan yang baru juga akan datang.
Namun, ingatlah dugaan itu datang bukan hanya menyakitkan tetapi juga datang dengan kesenangan. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:
- “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. ” Surah Al-Anbiyaa, ayat 35.
V=IR mengajar kita akan lumrah kehidupan kita yang perlu kita hadapi dengan positif. Hadapi saat-saat diuji dengan kesabaran dan memujuk hati agar kuat kerana cabaran akan pergi seketika nanti dan kita akan miliki potensi yang lebih bernilai.
Lumrah manusia apabila mengetahui akan suatu yang menguntungkannya maka tidak dia mempersia-siakan peluang itu. Inilah peluang untuk memiliki potensi dan keupayaan yang baru, yang lebih baik.
Hadapi warna-warna kehidupan dengan kesabaran, doa dan harapan. Usah gentar dan takut dengan cabaran dan dugaan kerana ia turun dengan kebaikan. Kembalilah pada Allah dan jalan yang Allah redhai. Allah bersama kamu di mana kamu berada.