Novel: Tawaf Penggembala – Bahagian 6
Dalam kabus yang dingin, samar-samar kelihatan sepasang kekasih berpegang tangan menghirup udara yang dingin dan membiar baju panas mereka kelembapan disapa oleh titisan gerimis embun. Bagai daun berenang di air, kelibat dua sejoli itu tenggelam dan timbul dalam ketebalan kabus.
Leckhampton House and Rose Garden hanya tidak lebih satu kilometer dari Sidgwick Side. Dua sejoli masih asyik melayan perasaan di taman yang sungguh indah.
Rose Garden menyaksikan percintaan yang indah sejak ia dibuka berdekad-dekad lamanya. Pagi itu, rose garden menjadi saksi lagi sekali kepada percintaan sepasang merpati yang baru berjinak dengan umur muda dan dunia cinta yang mengasyikan.
“Ritz, I harap sangat I dapat stay di Leckhampton House” ujar si dara berkulit cerah yang menonjolkan ciri peranakannya. 3 tahun di University of Cambridge tanpa cita-cita lain yang mengongkong pemikiran dan benak hatinya iaitu menghuni Leckhampton House.
“Your dream will come true one day sayang..” Fathul menyakinkan kekasih hatinya.
Menghuni di Leckhampton House memberi maksud menjadi graduan sarjana. Itulah maksud sebenar Mas. Sudah cukup untuk dipandang hebat jika memiliki sijil sarjana muda University of Cambridge, apatah lagi jika memiliki segulung ijazah sarjana dari menara gading ternama itu. Bukan mudah tetapi tidak mustahil.
“Dalam kelas semalam, I suka cara you argue dengan Prof. Andrew Harvey. Tapi kenapa you nak sangat join kelas econometrics? You rasa suka belajar subjek itu?”
“Kenapa you suka? Suka I gaduh?”
“Mana ada you gaduh. You just pertahankan apa you tahu dan bincang dalam kelas. Itu bukan gaduh kan?”
“Ya, mungkin I rasa dengan cara macam itu, I lebih banyak belajar”
“Itu yang buat I senang jatuh hati dengan saying I ni”
Berlalu tapak-tapak yang girang berdua-duaan itu melepasi bangku-bangku ditepian Rose Garden. Mereka gemar menggunakan jalan itu untuk ke Faculty of Economics, meskipun lebih jauh tetapi laluan itu berhadapan dengan Leckhampton House. Ia seperti memberi motivasi kepada mereka setiap pagi memulakan hidup seorang mahasiswa. Melihat kolej itu sahaja telah cukup membakar semangat mereka untuk berjuang pada hari itu.
Kupu-kupu yang terbang rendah seakan meronta dengan kesejukan pagi itu. Namun, dua sejoli yang melewati taman bunga ros yang indah itu seakan masih panas. Bergelut dengan kata-kata indah yang menyesakan hati tetapi membolehkan hati merasa dicintai. Itulah perasaan yang paling diidamkan manusia. Perasaan dicintai dan mencintai. Namun manusia selalu tewas dengan perassaan cinta sesama manusia melebihi cinta manusia pada penciptanya.
“You, jom ke kelas, lagi 10minit” Mas menunjukan jam tangannya tanda kelas akan bermula.
Fathul menarik tangan kekasihnya itu, sambil berlari anak.
Pecah segala kesunyian Rose Garden dengan riang tawa manis mereka berdua.
“Lepas kelas, I jumpa you di Austin Robinson Building Courtyard, ok?” suara manja Mas tentu tidak akan menghampakan dirinya sendiri. Begitulah lelaki yang tewas dengan kemanjaan wanita.
“Ok sayang,” Fathul tewas juga dengan kemanjaan itu.
Fathul tersenyum sendirian mengenangkan kemanisan itu. Kemanisan yang telah berlalu hamper 3 tahun. Kemanisan yang membawa dia kepada mercu kejayaan di menara gading ternama di dunia. Menempah namanya sendiri sebagai graduan Malaysia terbaik di universiti itu.
Namun begitu, hubungan mereka lumpuh setelah Fathul kembali ke tanahair. Terutamanya apabila Fathul dikurung dalam villa mewah dan pada masa yang sama Mas begitu sibuk dengan tugasan sarjana. Hubungan yang begitu manis mungkin tidak kekal lama kerana berselingkuh dengan dosa-dosa. Walaupun begitu, kenangan itu tetap manis bagi Fathul dan jauh di dalam hatinya masih berharap Mas hadir kembali mencipta kemanisan setiap saat waktu yang dilaluinya. Berteman dalam Fathul mencipta semula kejayaannya ditanahair sendiri.
Tetapi, mungkin Mas sudah punya lelaki yang jauh lebih baik dari Fathul. Atau mungkin sudah berumah-tangga.Mungkin tidak bergelar ibu tetapi bergelar isteri. Mungkin suaminya seorang orang putih atau mungkin juga dijodohkan oleh keluarganya. Soalan-soalan yang hanya menyesakan nafas-nafas Fathul yang mula tidak teratur.
Jantungnya berdegup bagai mencari tempo yang betul dan telah lama terbabas dari tempo yang seharusnya. Fathul memandang kemanisan saat itu bagai penyebab penyakit. Ketakutan dan kebimbangan akan apa yang bakal terjadi. Fathul perlu tahu apa yang telah dilalui oleh Mas untuk dia reda dari perasaan ini. Fathul perlu mencari jawapan untuk semua soalan-soalan benak hatinya.
Fathul tidak sanggup melaluinya saat ini kerana soalan-soalan yang hanya menyesakan dadanya. Cinta dan kemanisan lalu masih menghantui. Lebih merisaukan Fathul yang masih mahu cinta dan kemanisan itu diteruskan. Jika masih diteruskan, maka soalan-soalan itu menjadi penting kerana jawapannya memberikan harapan atau kekecewaan.
Fathul tercengang. Berdiri tegak. Matanya terbuka luas. Anak mata Fathul bagai menggaris cahaya tepat ke mata gadis di hadapannya. Seorang gadis yang pernah hadir dalam hidupnya. Pernah dalam pelukan penuh dosanya. Pernah menemani setiap saat dia menelaah buku-buku dan menyiapkan tugasan-tugasan pelajarannya. Dan gadis itulah yang bersama-sama dia menjulang sekeping ijazah yang amat berharga.
Terlakar secebis senyuman di wajah Mas. Seolah mendapat cahaya baru dalam hidupnya. Cantik manis berjilbab. Fathul sedar akan perubahan itu. Mas tertunduk segan dengan renungan mata dan senyuman jejaka bijak Cambridge yang pernah dicintainya.
Inilah saat terindah yang Fathul lalui sejak pulang dari luar negara. Bertemu semula pada cinta hatinya sebaik sahaja melangkah keluar dari bilik temuduga.
Kenapa Mas di sini? Adakah soalan-soalan tadi jawapannya adalah dia sudah pulang kerana berumahtangga?
“Mas.. adakah kau masih menyintai aku? Atau kau pulang mencari aku?”
“Fathul, keputusan temuduga akan kamu tahu esok. Kamu boleh pulang dan nantikan keputusan itu. Saya sendiri akan menghubungi kamu,” Pakcik Karim tiba-tiba muncul dari belakang menegur menghilangkan lamunan talian cinta dua sejoli.
Kemana harus Fathul pergi dan menunggu keputusan temuduga itu. “Ahh… soalan demi soalan menghantui aku… Mas…kerja..wang… tempat tinggal…”
“By the way, Fathul, kenalkan. Ini Mas. Puteri tunggal saya. Dia bekerja di sini sebagai Pengarah Pemasaran,” Pakcik Karim memegang bahu Mas yang masih berdiri kaget.
“Saya kenal Fathul ayah, kami satu fakuli di Cambridge” suara Mas sungguh merdu dan menyenangkan.
“Tentu kamu kenal! Ayah juga boleh agak begitu. Rakyat Malaysia di Cambridge pun tak ramai.”
“Err… Tan Sri, saya rasa elok saya minta diri dulu. Mas nanti insyaAllah ada masa kita jumpa lagi, ” Fathul cuba mengalih cerita dari kebenaran dan berdalih supaya hatinya terus tenang serta tidak sesak dengan persoalan lagi.
“Fathul tak mahu berbual dulu dengan Mas? Mungkin banyak cerita mahu dikongsi?”
Fathul merasa amat malu dengan pelawaan itu. ‘Adakah Pakcik Karim mengetahui kisah aku dan Mas?’ fikir Fathul.”Saya khuatir mengganggu tugasan Mas, Tun.”
“Kalau begitu, baiklah. Nanti ada rezeki kamu jumpa lagi. Mas pula jangan merajuk,” usik Pakcik Karim sambil menjeling pada puterinya.
‘Pasti! Pakcik Karim tahu akan cerita aku dan Mas! Sejauh mana dia tahu? Apa dia tahu? Apa akan jadi selepas ini kalau aku satu pejabat dengan Mas?’ maka bertambah lagi persoalan-persoalan liar lahir dalam pemikiran Fathul.
Hati Fathul bercampur-campur. Riang. Suka. Ingin melompat-lompat kegembiraan. Penuh harapan yang belum pasti menyinar atau tidak. Risau jika kecewa tetapi perlu berkongsi pejabat. Risau jika tidak mampu menghadapi kenyataan yang akan diketahuinya. Risau akan hidupnya yang sekarang ini sebatang kara. Risau akan status dirinya yang merempat dan Mas seorang anak bergelar Tan Sri. Begitu bercampur perasaan dan kusutnya pemikiran Fathul. Ingin Fathul merungkainya hari ini juga agar tiada lagi hari-hari esok yang menyesakan dada.
Mas menjeling dan senyum manis melihat telatah jejaka muda di hadapannya. Mungkin sudah masak dengan gaya Fathul dan telatah Fathul itu. Hatinya bagai riang dan terhibur dengan telatah itu.
“Awak balik lah dulu. Istirehat. Saya akan hubungi awak nanti,” Mas memberi harapan. Harapan yang benar memberi harapan atau hanya pemanis rasa. Fathul masih syak wasangka. Fathul masih sangsi. Fathul masih perlu mencari jawapan untuk memastikan hari esok lebih bawa cahaya. Tetapi, Fathul perlu pulang membawa segala beban itu terlebih dahulu. Hari minggu bakal menjadi panjang dan berat untuk Fathul harungi. Namun, Fathul belum pasti jua.