Fikir Pada Air
Setiap hari kita meneguknya. Cuma beza ada berperisa dan ada sekadar air kosong. Bila sejuk tekak, menghilang dahaga, kita sering alpa, air sebegitu jugalah yang turun dari langit sebagai hujan, air juga lah yang terkumpul di tanah menjadi banjir dan air jugalah yang mengeras menjadi salji dan ais.
Begitulah ciptaan Allah. Dengan medium yang sama, cuma berubah tempat dan keadaannya, air mampu menjadi kawan dan mampu menjadi musibah kepada kita.
Air sebagai minuman, air memberi tenaga dan menghilangkan rasa haus. Mengisi kembali air yang terhilang dari proses badan. Menjadi cecair yang menggerakan zat-zat makanan dan mengangkut sisa-sisa proses kehidupan sel di dalam badan. Melegakan tekak, minuman berbuka puasa.
Air sebagai hujan, menyuburkan tanam-tanaman dan memberikan haiwan-haiwan minum. Lalu hujan berkumpul dan turun dari tempat tinggi ke lautan, membentuk sungai yang panjang dan lebar. Air ini membelah tanah sedikit tapi dalam di hulu sungai dan membelah tanah lebar tetapi cetek di muara. Membuatkan hidupan air berenang dan bernyawa, menjadi mangsa kepada ekosistem termasuk manusia. Di hujung muara, terbentuk sebelahnya pantai yang menjadi kawan kepada lautan. Pantai mana yang cantik tanpa air? Indah pantai kerana airnya, tenang pantai kerana airnya. Deruan ombak mengasyikan kerana air berlanggar pantai, mengguling air sesama air berlabuh di pantai. Lautan luas menghubung satu benua dengan benua yang lain. Menjadikan lautan laluan manusia berhubung sesama manusia. Lautan yang luas, menyimpan segala keindahan. Terumbu karang yang melambai-lambai tidak lagi cantik bila di daratan. Begitu air memberi rasa nikmat kehiudupan.
Air sebagai ais. Masakan sejuk air minuman dengan hanya udara yang sejuk. Udara yang sejuk, membekukan air menjadi ais. Maka kesejukan lebih bertahan lama. Menjadi penghias rasa minuman dan turun juga sebagai salji mengubah musim iklim kawasan.
Namun, ingatlah air yang tadi turun sebagai hujan, mampu mengubah tanah. Sekali air bah, sekali tanah berubah. Hujan yang lebat tidak henti-henti atau hanya hujan yang terlalu lebat, boleh menjadi banjir kilat dan banjir yang berpanjangan. Ingatlah air sebagai banjir inilah yang menenggelamkan kaum yang mungkar dengan Nabi Noh AS. Pada masa yang sama air itu jugalah menjadi penyelamat dengan mengangkat bahtera Nabi Noh AS. Manusia hari ini telah menyaksikan pelbagai musibah yang Allah turunkan menjadi pengajaran kepada manusia. Kita menyaksikan bagaimana air dengan kuat menghayutkan dan menenggelamkan Acheh, Kota Muda, Sri Lanka, Fukushima dan Miyagi. Tsunami yang menjadi trauma penghuni pantai yang indah.
Salji yang putih turun dari langit. Menutup dedaunan yang menghijau kini putih. Tetapi ingatlah musim salji yang berpanjangan mengundang maut juga. Kebuluran dan kekurangan makanan kerana musim sejuk yang berterusan. Ais yang bergerak terapung di atas air memberi bahana yang tidak di duga. Sejarah merakamkan gabungan air sebagai lautan dan ketulan ais (iceberg) telah menenggelamkan kapal Titanic.
Ya, asasnya sama – air.
Lihatlah dengan mata hati. Fikirlah dengan iman dan taqwa. Dengan itu, insyaAllah kita akan beroleh teladan yang Allah Maha Kuasa dan Allah Maha Esa.
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum(sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” – Surah Al-Anbiya ayat 30.
“Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – Surah Al-Noor ayat 45
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya. ” – Surah Al-Room ayat 24
Wallahu’alam