Aku Juga Mahu Raya
Ikan masin seenak sahur,
Bekal buat badan dan tenaga,
Harap cukup hingga ke senja.
Ke sawah berteman fajar pagi,
Titisan keringat menjadi bukti,
Usaha demi sesuap nasi,
Nafkah anak dan isteri.
Zohor di tepian sawah,
Beratap awan,
Lelah tidak terhingga,
Kudrat dikerah dipaksa,
Menyembah yang Maha Esa,
Pemberi rezeki yang Maha Kuasa.
Mentari menyinsing ke barat sehasta,
Mengambil upah di seluruh desa,
Rezeki dicari dan terus dicari,
Kerana juadah berbuka belum pasti.
Peluh dan kudrat dikerah,
Demi membawa pulang juadah,
Berharap simpanan bertambah.
Berbaju baru,
Berseluar lama,
Sampin usang cabik disarung bangga,
Biar sekadar termampu oleh harta,
Menyambut Syawal kunjung tiba.
Namun si miskin senyum juga,
Girang melihat anak-anak gembira,
Puas hatinya berusaha,
Merai kudrat tidak putus asa,
“Aku juga mahu raya”,
Aidilfitri indah bersama keluarga.
Nukilan:
Zulakmar Hazwan Zulkhefli
Aku Juga Mahu Raya
Seoul, South Korea.
15 Ramadhan 1432