Berselawat Bersunnah

“Sesungguhnya Allah dan pra malaikat berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”Surah Al-Ahzaab ayat ke 56
Ibn Katsir menyatakankan bahawa Allah mengkhabarkan kepada para hambaNya tentang kedudukan seorang hamba dan Nabi di sisiNya. Allah memuji Nabi di sisi para Malaikat dan pada Malaikat pun berselawat kepada Nabi. Allah swt memerintahkan penduduk di bumi untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi, agar pujian ke dua penghuni di langit dan bumi bersatu.
Imam Muslim dan Abu Dawud meriwayatkan bahawa Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
“Barang siapa yang berselawat kepadaku satu kali, nescaya Allah berselawat kepadanya 10 kali”
Firman Allah swt di dalam surah Al-Hasyr ayat ke7 bermaksud “apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”
Renungilah perkara ini sedalam hati yang mungkin. Sedang lidah kita melaungkan selawat ke atas Nabi SAW, apakah pada masa yang sama kita menegakan sunnah Rasulullah SAW? Atau kita mendustakan setiap selawat yang terpancar di bibir kita dengan hati dan amal yang kosong. Apakah kita memberi penghormatan kepada Rasulullah SAW dan pada masa yang sama meninggalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW?
Atau, apakah kita melontarkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW dan juga berusaha bersungguh-sungguh beramal dengan sunnah-sunnah Rasulullah SAW?
Imam Ahmad meriwayatkan sepotong hadith, Rasulullah SAW bersabda bermaksud
“tidak duduk (yakni hadir) sesuatu kaum dalam sebuah majlis kemudian mereka berpisah atau bersurai tanpa berselawat ke atasku melainkan perpisahan mereka itu atas bau busuk seperti bau bangkai himar.”
Begitulah sebaliknya jika majlis dihiasi dengan selawat ke atas Nabi SAW, ia dipuji dan digemari serta mewangi.
Benarkanlah apa kata dibibirmu dengan hatimu dan amalmu. Bertaqwalah kepada Allah. Mari kita saling-mengingati firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat ke 31 “katakanlah, ‘ jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu’ Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang”
Wallahu’alam